Halaman

Selasa, 7 Disember 2010

SMK AGAMA TUN SAID: ANTARA REALITI DAN FANTASI

Kelmarin....3 Januari 2011 merupakan hari pertama persekolahan dan seperti kelaziman,turut merupakan hari sibuk bagi Ibu Bapa menguruskan persekolahan dan pendaftaran anak anak.Sekolah..... sebagaimana yang kita semua sedia maklum, merupakan institusi di mana ibu bapa serta anak anak murid menyandarkan harapan..bukan hanya sekadar memperolehi ilmu dan kemahiran malahan institusi sekolah dijulang melepasi batas batas horizon dan bagi ibu bapa yang tidak punya kemampuan...institusi inilah yang diharap bakal merubah corak penghidupan anak anak di masa hadapan.

Namun harapan ini seakan pudar apabila mendengar rungutan dari sebahagian besar ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka ke tingkatan satu.Ternyata kegembiraan kerana mendapat tawaran dari Kementerian Pelajaran melalui Unit Pendidikan Islam dan Moral,jabatan Pelajaran Negeri Sabah tidak seperti yang diharapkan.Tawaran memasuki tingkatan satu di Sekolah Menengah Agama Tun Said,Kota Belud seakan menjadi mimpi ngeri bagi kebanyakan Ibu bapa lantaran kekurangan kemudahan asrama,terutama bagi asrama putera.
Seorang rakan menceritakan kepada saya bahawa ramai antara pelajar tingkatan satu yang baru mendaftar tidak mendapat tilam dan bantal malahan ada yang tidak langsung mempunyai katil dan almari untuk menyimpan pakaian.Lebih menyedihkan...ada antara pelajar tingkatan satu yang baru mendaftar hanya dibekalkan tilam di atas lantai yang tidak berlapik manakala pakaian mereka hanya digantung ditingkap atau katil pelajar senior.Jika benarlah seperti yang didakwa oleh ibu bapa, maka sekolah ini malahan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah berdepan dengan masalah mengurus dan mentadbir kemudahan asrama dan perkara serta dakwaan remeh sebegini perlu perhatian segera.
Bagi pihak pentadbir SMKA Tun Said,sepatutnya telah mengambil langkah langkah perlu sebagai persediaan untuk menerima kemasukan pelajar tingkatan satu.Menurut kawan itu lagi,pihak sekolah tidak seharusnya menyalahkan pelajar pelajar lepas sebagai punca kerosakan katil,almari,tilam dan bantal kerana menyalahkan pelajar pelajar lepas hanya membawa kepada persoalan samada pentadbir boleh mentadbir atau sebaliknya.Sebagai sebuah sekolah agama,kerosakan kemudahan asas asrama memberikan gambaran kualiti pengajaran guru guru dan kebolehan pengetua untuk memimpin sesebuah sekolah.Pihak pengurusan sekolah seharusnya sedar bahawa pendaftaran pelajar baru berlaku setiap tahun dan mereka boleh memilih samada membiarkan masalah ini berulang setiap tahun atau sebaliknya.
Tambah kawan itu lagi...apa yang paling menyedihkan ialah jawapan paling senang dari pihak pengurusan sekolah dan ketua warden asrama ialah beli almari sendiri semantara menunggu peruntukan dari jabatan dan saya merasakan bahawa jawapan ini adalah jawapan dari golongan bukan profesional yang cuba menutup kelemahan sendiri,kalaulah saya sebagai pentadbir sekolah,saya akan merasa amat malu bila ada ibu bapa yang mengambil inesitif sendiri membaiki almari yang rosak.Alasan bahawa semua sekolah mengalami masalah yang sama adalah alasan budak mentah kerana sepanjang pengetahuan saya...SMK Arshad tidak pernah mengalami masalah katil,tilam,bantal dan almari.
Pendedahan ini bukanlah bertujuan untuk memalukan nama SMKA Tun Said namun kita sama sama berharap agar pihak Kementerian Pelajaran Malaysia,Jabatan Pelajaran Sabah serta pihak pengurusan sekolah mengambil langkah langkah perlu untuk mengatasi masalah ini,demi keselesaan anak anak kita menimba ilmu di sekolah ini.

Jumaat, 26 November 2010

JERAWAT

Semenjak kebelakangan ini,dalam beberapa bulan yang lalu,saya mendapati samada saya dan beberapa orang rakan mempunyai pandangan konservatif mengenai bidang politik dan kehidupan di kawasaan parlimen Kota Belud,lantas api liberal yang berkobar kobar di hati saya terpadam oleh alasan alasan bodoh yang cuba dikemukakan oleh pihak berwajib terhadap daerah tanah tumpahnya darah ini.Sempat seorang rakan wartawan menempelak saya kerana terlalu awal untuk merasa selesa..lantas beliau mengubah pepatah Melayu dari "lempar batu sembunyi tangan" menjadi "buang najis kunci bilik".
Kaitannya....setelah membaca beberapa pendedahan rakan wartawan dan maklum balas dari orang perseorangan....kini telah tumbuh jerawat besar di atas hidung orang Kota Belud...nampak hodoh dan terlalu terasa kehadirannya sehinggakan ada yang menyalahkan semua orang kerana kehadiran jerawat tersebut.Pada mulanya jerawat ini hanyalah jagat hitam sahaja dan tanpa sedar ia dipicit dan diulit sehingga membesar..hodoh dan sungguh memalukan.Mungkin bunyinya agak kasar namun memang saya sengaja mengatakannya kerana jerawat ini sama kejadiannya dengan alasan alasan bodoh dan emosional dari sesiapa saja yang mengkhianati kepercayaan pengundi di Daerah Kota Belud.
Namun kalau setakat hanya kehadiran jerawat..kepada sesiapa yang pernah mengalaminya..ia tidaklah sampai ke tahap berhenti makan makanan berminyak,goreng pisang atau makanan berlemak.Senarai penyebab bagi kejadian jerawat nampaknya tidak berhujung dan mana mana pakar kulit akan nampak asal kejadiannya walaupun mereka tidak berapa cekap..barang diingat bahawa tangan yang kotor juga boleh menjadi penyebab merebaknya bakteria yang menjadi salah satu penyebab terjadinya jerawat malahan lebih parah....mungkin keracunan makanan.
Masalah psikologi akan memburukkan lagi keadaan jerawat dan nampaknya sikap tidak mengendahkan akan menjadikan jerawat semakin membengkak.Dengan mengabaikan pendapat umum,orang Kota Belud akan terus mengulit jerawat mereka dan kedudukan jerawat besar di hujung hidung membuat mereka tidak akan dapat mengelak untuk melihatnya setiap hari.

Jumaat, 12 November 2010

Ceritalah : YB oh YB

Suatu ketika dahulu......walaupun kes ADUN yang digantung keahlian UMNO akibat politik wang mendatangkan rasa kurang enak,beberapa kesimpulan dari keseluruhan kejadian mestilah diambil kira.Dua persoalan utama yang timbul dalam benak saya sejak kebelakangan ini ialah tuduhan yang telah terbukti sehingga YB ADUN digantung keahlian dan satu perkara lagi ialah publisiti murahan.Tuduhan yang telah terbukti saya kaitkan dengan ingatan kepada semua ahli politik bahawa semua ahli politik patut belajar untuk hidup dengan cara yang lebih baik dan walau siapapun anda...tiada siapa yang boleh mengatasi undang undang.


Sebagai ahli politik,mesti ada satu kesedaran bahawa mereka bukan rakyat biasa sebaliknya mereka adalah kepunyaan masyarakat setelah dipilih dan dilantik kerana diyakini dapat berkhidmat dengan sebaiknya kepada masyarakat yang memilihnya.Pengundi sentiasa mengharapkan lebih dari mereka. Setelah melantik seseorang ke satu jawatan melalui pengundian,kita sebagai pengundi sentiasa berhak mengharapkan lebih daripada yang kita harapkan kepada diri sendiri.
Sebagai wakil rakyat yang mengharapkan undi dari rakyat,mereka ini...ADUN dan MP mestilah istimewa dan boleh menjalani hidup mengikut lunas lunas keistemewaan mereka.
Di mata masyarakat pengundi,kegagalan menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat bererti seorang ADUN atau MP merupakan pengkhianatan kepada pengundi dan kegagalan itu akan menjadi lebih buruk dengan kuasa pengundi setiap lima tahun sekali.
MP dan ADUN dipilih atas kefahaman untuk menegakkan dan menyampaikan suara rakyat agar mendapat pembelaan yang sewajarnya,sekaligus para MP dan ADUN digarap untuk memegang dan mematuhi undang undang.
Ahli politik merupakan arca atau cermin kita dimana kita mengundi mereka untuk apa yang kita inginkan kepada negara kita,masa depan kita dan pengkhianatan mereka terhadap idea kita sebagai rakyat merupakan satu penghinaan.pastinya kita tidak mahu dipimpin oleh penjahat,pencuri, samseng dan pemimpin makan rasuah dan kita pasti tidak akan mengundi mereka dalam pilihanraya akan datang.
Undang undang adalah nadi kehidupan kita.Jika manusia yang melanggar undang undang seperti mengamalkan politik wang sehingga digantung keahlian dalam parti sendiri boleh terlepas dari hukuman dan terus mentadbir serta mewakili kita dalam DUN,mungkin kita akan berakhir seperti Filipina di mana yang bersenjata adalah raja.
...saya hanya boleh mengagak tetapi tidak boleh menghukum

Ahad, 26 September 2010

PERISA : Mimpi Penuh Ranjau

Setelah sekian lama menyepi dan mengalami sindrom writer block,saya kembali mendapat idea dan ilham untuk kembali bersama dalam dunia penulisan bagi membincangkan perpaduan di kalangan bangsa yang tercatat dalam sijil kelahiran saya...Iranun.saya tidak ingin melangkah jauh kerana terbang terlalu jauh dan melepasi sempadan daerah menuju ke Kuala Lumpur/Putrajaya seolah olah bersamaan dengan hasrat PR.
Saya dengan berhempas pulas untuk berlaku adil namun objektif penubuhan wadah baru bagi maasyarakat Iranun,PERISA tetap berlegar dalam ruang fikir untuk melihat kewajarannya..memuji dengan kutukan tersirat atau mengutuk dengan pujian tersirat..bergantung kepada bagaimana anda semua melihat dan menilainya.Saya sebenarnya lebih berminat untuk melihat dari sudut dan perspektif yang lain dan saya beranggapan bahawa anda sebagai pembaca akan sentiasa memahami bahawa setiap penulis ada kegemaran masing masing.

Kelulusan ROS yang diperolehi beberapa hari lalu membolehkan PERISA untuk bergerak sebagai pertubuhan yang sah dari sudut perundangan.Kelulusan ini juga bermakna bahawa PERISA boleh menambahkan keahliannya di kalangan masyarakat Iranun tanpa mengira kedudukan samada ahli politik,ahli akademik,peniaga atau apa apa pun pangkat dan gelar...pokok pangkalnya adalah berbangsa Iranun...walaupun tidak diberikan keahlian secara terus.

Apabila saya fikir fikirkan...kita sebenarnya telah membuang masa yang terlalu lama,sekurang kurangnya untuk tahun tahun terakhir ini untuk membincangkan mengenai penyatuan bangsa kita,hala tuju kita dan sebarang perkaitan yang kita lihat samada dari sudut politik, ekonomi mahupun aspek aspek sosial.Dan pada hemat saya,penubuhan PERISA merupakan rakaman peristiwa mengenai bangsa yang mengalami perubahan penting...mungkin juga setelah menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang mengalami tekanan yang maha hebat dari persekitaran politik dan sosial mereka.


Iranun...membesar dengan mengakuri tradisi dan mementingkan cara lama.Sebarang perjalanan melewati landasan ini dan kemasukan ke dalam suasana baru akan begitu terasa kesannya.Saya sebenarnya lebih bimbang dengan kepantasan pergerakan kita..seolah olah kita telah kehilangan kesan warisan sejarah sendiri..walaupun sebenarnya sejarah warisan masyarakat Iranun tidak pernah dibukukan secara ilmiah...dan pastinya penyebab kepada kegagalan ini ialah sikap orang orang tua kita yang begitu liat untuk menceritakan tinggalan sejarah..atas sebab yang hanya mereka dan Tuhan yang mengetahui.Ketidakarifan mengenai diri..jika wujud pada lelaki dan wanita Iranun adalah tragedi peribadi...tetapi jika berlaku terhadap PERISA maka ini akan membawa kepada kehancuran bangsa Iranun itu sendiri.


jika PERISA tidak menarik perhatian saya...apakah yang menarik perhatian saya?Jawapan saya mudah sahaja...takrif.Anda boleh menganggap saya sebagai tunjuk pandai tetapi saya suka memberikan contoh bahawa Confucius pernah mengatakan bahawa setiap objek atau benda mempunyai ciri ciri yang merupakan intipatinya dan jika dikaitkan...pastinya PERISA mempunyai ciri atau intipati khas seperti jalan yang baik (yi) mahupun perikemanusiaan ( jen )Mungkin ini semua agak samar tetapi adakalanya kesamaran lebih saya gemari kerana terus terang akan menyakitkan ramai orang...dan takrifan saya mengenai PERISA adalah kita..bangsa Iranun seolah olah diminta untuk memerhatikan mereka dan lihat bagaimana diri mereka yang sebenar berbanding diri mereka yang sepatutnya.Saya selalu tertanya tanya di dalam hati....sejauh mana baik dan berperikemanusiaan PERISA berbanding PISBA dalam mereka menjalankan apa yang didakwa sebagai kewajiban atau adakah mereka mencari keuntungan peribadi..?

Sebagai penulis...saya hanya boleh meramal bahawa walaupun kita sedang meninggalkan hasil kerja barat namun saya masih merasakan bahawa ukuran bagi menilai PERISA perlu menjadi lebih ketat dari apa yang pernah bangsa Iranun wujudkan...juga masih saya tertanya tanya..apakah para penulis bangsa saya seperti Kelapa Mawar,Murai Isu,Batu gadung,Dayang Wulan dan beberapa nama terkenal yang tidak mampu saya catatkan di sini tidak menyedari semua ini?

Isnin, 23 Ogos 2010

ORANG BERBANGSA


Malam ini, saya akan duduk untuk cuba menulis catatan yang paling susah pernah saya cuba tulis...Wadah Baru Masyarakat Iranun.Saya harus mengisytiharkan pendapat saya menjelang penubuhan wadah baru ini.Mengapa saya katakan susah,kerana apa yang cuba saya catatkan bukanlah sanjungan di mana masyarakat kita mungkin sudah terbiasa dengan laporan mengenai kegemilangan sehingga apa yang kurang dari pujian dianggap subversif.
Saya ingin berterus terang tanpa membahayakan diri.Saya teringat pepatah Inggeris yang bermaksud..."budi bicara itu bahagian keberanian yang lebih baik".
Bagaimanapun,hanya orang pandir sahaja yang menyangkal kepantingan penubuhan WBI.Penghargaan wajar diberi kepada yang berhak dan layak dihargai.Penubuhan WBI menggambarkan kekuatan dan semangat untuk memacu masyarakat Iranun ke puncak yang lebih gemilang.Kita telah mencuba melalui Pisba dan kita tidak sampai ke mana,Kita ada Pagisa yang kita lihat semakin menampakkan sinar kejayaan,namun hanya untuk graduan atau lulusan Unversiti dan malangnya bukan semua orang Iranun lulusan Universiti. Kini sampai ketikanya,andainya dibenarkan oleh undang undang..kita paksakan persetujuan daripada anak bangsa yang tidak bersedia.
Namun begitu,secara jujurnya saya mengakui bahawa pendapat saya mengenai WBI dicorakkan oleh pengalaman dalam bidang kehidupan awam di Malaysia,di mana interaksi alam maya seperti Facebook kurang menggembirakan.Akibatnya,saya masih menyimpan kepahitan hasil pemerhatian saya dan kini saya benar benar faham betapa bangsa saya yang dalam catatan terdahulu telah saya yakini sebenarnya keras dan tidak pantas merebut peluang.Mengapa saya berpendapat sedemikian...?kerana saya melihat masyarakat Iranun dari segi natijah,lebih dari cara,di mana kepentingan seluruh masyarakat Iranun mengharuskan tindakan menghentam individu.
Tempoh penubuhan semakin hampir dan saya menyeru agar kita melihat penubuhan WBI ini sebagai perubahan besar yang melingkungi fahaman politik,pekerjaan dan segala galanya tanpa membelakangkan fahaman agama.
Seharusnya kita merubah pemikiran untuk turut sama menyenggarakan agenda memajukan bangsa kita dan saya akhiri catatan ini dengan bertanya,apakah corak dan pola pemikiran yang statik dan sama dapat membawa kita ke alaf baru dengan kejayaan yang sama?Mungkin para pemimpin Iranun ada jawapannya dan soalan ini saya kembalikan kepada TSP untuk jawapannya.

Isnin, 16 Ogos 2010

Kembalinya kepercayaan

Dalam diam,saya rasa ramai yang bersetuju apabila saya mengakui bahawa saya semakin tidak percaya dengan kebolehan bangsa saya Iranun untuk bersatu dan saya juga semakin yakin bahawa saya benar mengatakan bahawa para pemimpin di kalangan bangsa saya tidak akan mampu bangkit dari tekanan pecah dan perintah. Ketaksuban mereka terhadap kekuatan bangsa lain dan sikap tunjuk pandai dalam falsafah politik telah lama menjadi kebencian saya.Selain dari nada kebanggaan terhadap keupayaan mengumpul kekayaan dan muhsin-diri yang mengaku jaguh,saya menganggap golongan ini sebagai golongan yang semakin tidak relevan dalam dunia yang semakin tinggi pencapaian sainsnya.
Bagaimanapun,baru baru ini saya terpaksa menukar pandangan dan bukan kerana saya fanatik terhadap bangsa saya.Sepanjang minggu lalu, saya telah menganalisis dan sibuk membaca kembali segala catatan serta buku mengenai bangsa Iranun.Tambahan pula,pada 14 Ogos yang lalu rupanya telah berlangsung perjumpaan pusingan kedua di antara pemimpin Iranun untuk menentukan halatuju perjuangan masyarakat Iranun.Terbuka mata saya membaca blog Kelapa Mawar yang menceritakan tujuan penubuhan wadah baru masyarakat ini.Apa yang selama ini saya fikir tidak relevan kepada kehidupan saya rupanya jauh lebih berkaitan dan bergema lebih kuat dari apa yang saya fikirkan.
Suka saya mengatakan bahawa saya buka mencari kesedaran atau sesuatu yang bermakna apabila mula menyokong wadah baru perjuangan ini.Selama ini, saya mencari sesuatu nilai yang berkait rapat dengan bangsa saya tanpa saya menyedari bahawa bangsa saya sebenarnya telah bergerak jauh dari paras kampungan menuju era globalisasi.Bunyinya memang bodoh tetapi sebagai orang Iranun yang dibesarkan dalam masyarakat Melayu Semenanjung,saya lebih faham mendengar bicara Tun M atau DSAI berbanding Tan Sri Pandikar atau Almudin kaida.
Iranun di kota Belud hanyalah sebilangan kecil dari jumlah masyarakat Iranun di seluruh Sabah,dan pertembungan antara pemimpin pemimpinnya akan menjadikan Iranun semakin lemah.Terpulanglah kepada kita untuk menggunakan ciri ciri positif budaya Iranun.
Saya terjumpa satu Hadis yang menyeru setiap orang menganggap diri mereka pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga yang dibawah pimpinannya,pemimpin keatas rakyat dan seterusnya rangkaian tanggungjawab dan tugas yang menyimpulkan kesatuan.
Saya akhiri catatan ini dengan kata kata Confucius,".............dengan hanya menjadi seorang anak yang baik dan mesra dengan adik beradiknya,seorang lelaki dapat mempengaruhi kerajaan".

Jumaat, 6 Ogos 2010

Kepelbagaian malaysia

Sewaktu bersekolah di Semenanjung Malaysia,kawan kawan selalu bertanya tentang Negeri sabah dan siapa bangsa Iranun,di mana dalam sijil kelahiran atau surat beranak saya dieja sebagai Illanun.Sering menjadi bahan ejekan dan gurauan rakan rakan tentang siapa kita,dari mana kita datang dan ke mana arah tuju kita.Dan setelah 30 tahun berlalu,saya mengakui terlalu memikirkan mengenai masalah identiti suku kaum saya,setelah menepis berbagai bagai soalan mengenai bangsa Iranun,benarkah dakwaan bahawa bangsa Iranun sama taraf seperti pelarian Filipina?Benarkah kami sememangnya telah duduk lama di negeri sabah berdasarkan gelombang pergerakan manusia?saya dapati kunci utama untuk mengungkaikan persoalan ini adalah kejujuran dan sikap berterus terang.
Saya punya sudut pandangan yang tersendiri yang mana jika anda semua tidak setuju tidak mengapa kerana saya bukan ahli politik,maka walaupun pandangan saya menentang arus dan menyangkal konsep parti,saya percaya pandangan ini tidak akan menimbulkan rasa kurang senang.
kalau dulu saya hanya menyatakan bangsa Iranun adalah sememangnya Iranun,pada masa ini saya ingin menjawab persoalan ini dengan kisah tarikh lahir saya.Saya dilahirkan pada bulan ogos 1967.Saya suka memikirkan bulan ogos sebagai bulan keramat kerana kebetulan saya berkongsi bulan dengan kemerdekaan.Bukan kerana saya berbangsa Iranun yang hampir tidak disebut dalam media arus perdana dan hampir hampir tidak dikenali di dalam negara sendiri tetapi berkongsi bulan dengan kelahiran negara cukup mengembirakan walaupun tidak melayakkan saya mendapat apa apa keistimewaan.
Saya hanyalah rakyat Malaysia biasa,makan ulam petai dan sambal belacan,sesekali berpeluang ke Ibu Negara kuala Lumpur lalu memborong kain di Jalan Tunku Abdul Rahman dan perhiasan kayu serta rehal di Mydin,turut sama bersesak sesak di Sogo jika ada jualan murah.
Tetapi dengan cara tersendiri,saya juga mencerminkan keseluruhan Malaysia,seandainya kita dapat menerima bahawa kejituan Malaysia adalah adunan nusa dan kepelbagaian budaya.Maka saya yang berbangsa Iranun,bumiputera Sabah hanyalah sebahagian dari aspek nusa kerana Malaysia tidak dapat lari dari variasi suku kaum dan keturunan yang pelbagai.
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Malaysia merangkumi campuran ganjil serta kisah hidup semua unsur tersebut.
Tragedi nasional 13 mei menghantui kita seperti mimpi buruk namun dengan berlalunya masa kenangan itu semakin samar kesan umur dan kematangan kita.Maka jadilah saya seperti anak dara yang semakin mengembang di pinggang, semakin matang dan diharap semakin selesa dengan apa yang saya ada.namun ada pendapat nakal rakan bahawa semua negara adalah palsu dan nasionalisme itu adalah igauan dan impian manusia moden.Benarkah begitu...Selamat menyambut bulan kemerdekaan...merdeka..merdeka..merdeka

Recent Comments